Cerita Saya

Baldi 2021 : Hijrah

Assalamualaikum… Lagi 8 hari kita akan beralih tahun dan meninggalkan 2020 ini. Lagi 8 hari ini saya dalam keadaan sesat larat dan tidak fokus melakukan tugas harian. Benarlah bila keadaan berubah, kita pun patut ikut berubah sekali. Kalau tidak, inilah yang berlaku (seperti saya). Move on!

Hilang ketua, menyukarkan. Kemudian hilang seorang teman sekerja sebab bertukarkan jabatan – dah macam hilang tempat bercakap. Memang tanpa sedar saya telah membenarkan ‘tekanan dan keadaan’ memenangi diri waktu ini. Saya berharap, ini berlaku cuma sehingga penghujung tahun dan tahun depan saya boleh kembali bangkit. Saya benar-benar mahu bangkit dan cemerlang. Biarlah tak hebat di mata orang, dapat memuaskan hati dan diri sendiri sudah cukup.

Tahun 2021 saya hanya ada tiga (3) perkara dalam bucket list. Saya dah tak nak kejar kerjaya hebat, rumah idaman, duit beribu dalam akaun bagai – dah berbelas tahun usahakan perkara-perkara itu, namun tak mendapat juga. Mungkin memang bukan rezeki saya. Jadi saya mahu fokus kepada tiga perkara yang saya fikir sangat mendesak dengan situasi semasa. Jadi saya namakan baldi 2021 sebagai HIJRAH. Ini adalah tiga perkara yang saya impikan pada 2021:

1. Hijrah – kerja di kampung

2. Jaga mak dan abah

3. Kehidupan yang minimalis

Sejak abah sakit memang tak ada apa lagi yang difikirkan melainkan mahu duduk dekat dengan mak dan abah. Tujuannya supaya dapat memberi sepenuh perhatian kepada mereka. Paling elok jika dapat duduk dekat dengan mereka. Dan untuk duduk dekat, satu saja kuncinya – kerja di kampung. Sebab itulah saya perlu dapat kerja baru di kampung atau kawasan sekitar. Kalau di Lambor tu memanglah tak ada kerja. Jadi, saya harap dapatlah tawaran kerja di mana-mana macam Seri Iskandar atau Tronoh. Sebenarnya di Tapah atau Manjung juga tak mengapa, asal mudah rentas daerah untuk balik kampung bila kecemasan.

Kerja. Saya ni jenis yang tak memilih sangat. Kerja apapun tak mengapa asal sumbernya halal dan bayarannya setimpal. Kalau ikut gaji sekarang, jika ada majikan sudi ambil saya bekerja dengan kadar 5k – besar tapak tangan nyiru saya tadahkan. Kalau 4.5k, Alhamdulillah, sebab lebih kurang saja dengan kerja sekarang. Kalau tidak, 4k pun saya bersyukur seribu rahmat. Kalau di kampung, asal hampir 4k pun saya akan terima dangan gembira. Baik kerja kilang, mahupun kerja di pasar raya, saya rela. Apa yang penting dapat balik kampung, berhijrah. Kalau gaji sikit, saya anggap itu pengorbanan diri saya (bukan selalu berkorban pun).

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berhijrah di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Qs. Al-Baqarah 2:218)

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh ampunan dan rezki (ni;mat) yang mulia. (Qs. Al-An’fal, 8:74)

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan (Qs. At-Taubah, 9:20)

Pada ayat-ayat di atas, ia menjelaskan bahawa:

(I) Hijrah harus dilakukan atas dasar niat karena Allah dan tujuan mengharapkan rahmat dan keredhaan Allah.

(II) Orang yang berhijrah dan berjihad dengan motivasi karena Allah dan tujuan untuk meraih rahmat dan keredhaan Allah, mereka itulah adalah mukmin sejati yang akan memperoleh pengampunan Allah, memperoleh  keberkahan rezeki (nikmat) yang mulia dan kemenangan di sisi Allah.

(III) Hijrah dan jihad dapat dilakukan dengan mengorbankan apa yang kita  miliki, termasuk  harta benda, bahkan jiwa dan raga.

(IV) Ketiga   ayat  ada menyebut  tiga  prinsip  hidup, iaitu  iman,  hijrah dan jihad. Iman bermakna keyakinan, hijrah bermakna perubahan dan jihad bermakna perjuangan dalam menegakkan risalah Allah.

Saya harap niat saya nak berhijrah kerana mahu berbakti kepada mak dan abah ini diterima Allah SWT dan dipermudahkan segala usaha saya ke arah itu. Untuk itu, saya berharap saya dapat tawaran bekerja di kawasan sekitar kampung saya supaya dapat meneruskan hasrat murni ini. Tanpa kerja baru, saya tak mungkin dapat teruskan menjaga mak abah ‘di depan mata’. Memanglah boleh saja menjaga mereka, tapi jaga dari jauh sajalah. Sejauh 215 km!

Saya tahu, walaupun kerja di kampung tidak semestinya saya dapat tinggal bersama mak dan abah, boleh jadi saya bekerja di Tronoh, Tapah atau Manjung – lebih mudah jika saya menyewa saja. Namun dapatlah saya pulang setiap minggu dengan mudah dan tanpa ragu-ragu. Sebab jarak antara lokasi itu dengan Lambor Kanan tidaklah jauh mana, boleh saya gagahkan diri memandu balik. Selagi ada hayat deme, biarlah saya yang menjaga deme. Paling tidak, dapat menghantar abah ke pusat dialisis seminggu sekali dan boleh temankan emak membeli barang di Billion. Apa yang penting sekali, jika ada kecemasan – sepantas kilat saya boleh pecut balik ke kampung.

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan kamu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (sopan santun).” (Qs. Al-Isra’ 17:23)

Amal perbuatan yang amat disukai Allah swt ialah solat (yang tepat) pada waktunya, berbakti kepada orang tua dan berjihad pada jalan Allah. (Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Muslim)

(I) Jadinya, berbuat baik atau taat kepada dua ibu bapa bermaksud menghormati dan melakukan pekerjaan yang disukai mereka dan pekerjaan yang dilakukan itu janganlah bersalahan dengan kehendak yang disuruh Allah SWT. Melakukan pekerjaan yang disukai kedua ibu bapa memang menjadi tanggungjawab besar bagi anak. Besarnya jasa ibu dan ayah memang tidak dapat dinilai sama sekali.

(II) Pada umur 37 tahun ini saya buat keputusan bahawa saya patut bertanggungjawab menjaga mak dan abah. Mengenangkan pengorbanan mereka membesarkan saya, memberi didikan agama dan dunia dan memberi kesejahteraan hidup kepada saya, maka saya tak boleh duduk diam, sekadar beri elaun bulanan saja kepada mereka. Saya patut ke hadapan bila mereka perlu berjumpa doktor, merawat bila mereka sakit, membeli keperluan yang diinginkan, menyenangkan dan menggembirakan hati mereka. Itupun selagi hayat dikandung badan. Entah panjang mana umur saya atau umur mereka, entahkan saya pergi dulu sebelum mereka.

Kalau saya memang dah di kampung, saya mahu kehidupan serba sederhana atau kata orang sekarang minimalist life. Saya ingin beli rumah sederhana besar, perabot dan perkakasan rumah sedia sederhana dengan gaya hidup yang mudah dan ringkas. Cukuplah… Kalau boleh saya mahu beli rumah di Seri Iskandar, mudahlah mak abah singgah selepas cuci darah di pusat dialisis. Jadi mereka tak perlu tergesa-gesa pulang sebab takut hari gelap (malam) atau hujan – boleh terus bermalam di rumah saya.

(I) Minimalis – Wasatiyyah
Wasatiyyah ataupun bermaksud kesederhanaan. Orang yang minimalis ialah orang yang bersederhana dalam kehidupan. Membeli barang pun dengan sederhana, tidak membazir tetapi tidaklah sampai kedekut. Membeli ikut keperluan.

(II) Qanaah – bersyukur
Dalam Islam juga, kita diajar supaya mempunyai sifat qanaah iaitu bersyukur dengan apa yang kita miliki. Orang yang minimalis perlu rasa berpuas hati dengan apa yang ada. Bukan tidak mampu untuk beli, tapi tiada keperluan pun.

(III) Penyakit Al-Wahan – Cinta Dunia & Takut Mati. Cintakan dunia itu meliputi apa yang dunia tawarkan kepada kita, harta benda, pangkat, rumah, keluarga dan lain-lain. Di sini, apabila kita terlalu cintakan harta benda kita, boleh jadi kita akan mengumpul harta, membeli dan terus membeli. Yang menariknya, apabila kita menjadi minimalis, kita seolah-olah melatih nafsu daripada penyakit Al-Wahan ini, iaitu mengawal nafsu daripada mengumpulkan harta dunia.

(IV) Seorang yang minimalis juga adalah seorang yang berbelanja dengan berhemah dan tidak membazir. Membazir itu amalan Syaitan!

Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (QS Al-Israa : 27)

Untuk diri saya, tak perlu pun rumah besar apalagi yang mewah. Yang kecil dan serba sederhana dah memuaskan hati. Yang penting, ada untuk diri sendiri dan masa depan. Gaya hidup pun sama, saya tak gemar gaya hidup moden dan hipster, yang biasa-biasa saja dah cukup. Kalau dapat rumah dalam RM100k pun dah memadai, dapat yang murah lagi lebih senang hati. Perabot cukuplah ala kadar. Lagipun saya memang telah mengumpul serba sedikit keperluan rumah selama tinggal di KL ni. Sekadar mahu menambah-nambah saja nanti.

*Bonus! Kalau tiba-tiba saya ada bercerita tentang jodoh pada masa-masa mendatang – itu maknanya mungkin saya akan berjodoh. Masanya akan tiba, saya optimis bahawa seseorang yang baik, bertanggungjawab dan menyenangkan memang telah disediakan Allah SWT untuk saya – bila tiba masanya nanti muncullah dia. Bukan bermaksud saya tidak mengharap, cuma saya yakin penuh dengan janji Allah bahawa manusia ini berpasang-pasangan.

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui. (QS Yasin : 36)

Semoga yang baik-baik menjelma dalam hidup saya tahun depan, 2021 dan seterusnya. InsyaAllah. Semoga kehidupan saya dan keluarga dirahmati Allah SWT dan segala urusan saya dipermudahkanNYA. InsyaAllah, Aamiiin.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s