Wanita : Sombong VS Angkuh

Assalamualaikum..

Saya mungkin berdosa besar sebab sepanjang bulan penuh rahmat, Ramadan Ya Kareem, saya pendam perasaan, saya bimbang kalau jadi pendendam! Pasal apa? Pasal tekanan yang saya hadapi beberapa bulan lalu. 

Apa yang saya hadapi – bukan soal utama. Saya anggap perkara biasa  yang telah menambah kematangan saya. Cuma ‘kata-kata’ dari orang lain yang saya ambil sebagai ungkapan hikmah untuk panduan supaya saya nanti tidak jadi seperti itu.

Wanita : Muda Sombong

Saya, perempuan muda yang sombong. Kalaupun bukan sekarang, tapi dulu saya begitu – perempuan muda yang sombong. 

Dulu, masa saya mula bekerja… Kita (saya) ada kelulusan dan bersungguh bila melaksanakan tugas, jadi kita akan menyombonglah dengan orang lain yang terbatas komitmennya terhadap tugas. 

Yang terbatas tu adalah upayanya melaksanakan tugas. Mungkin sebab dia sudah tua, jadi tubuhnya kurang sihat dan taklah seagrasif kita yang muda belia (waktu itu). Atau mungkin anak-anaknya ramai nak diuruskan, jadi masanya untuk famili lebih utama.

Pada usia itu, saya tak mahu ambil tahu pun. Sebab saya (yang sombong) anggap ketidak upayaan itu sengaja dibuat. 

Sekarang – bila saya makin berusia, baru saya tahu… Saya perlu masa untuk diri sendiri, saya pun mula berbagi  (berbahagi) masa. Cuma, saya tak adalah sampai mengabaikan tugas. 

Kerja tetap utama. Iyalah, punca rezeki… Dan rezeki itu perlulah hasil yang halal sebab yang makan bukan saya seorang…Mak Abah dan keluarga juga. Bab ini saya teliti sikit! 

Pokok pangkalnya ‘yang menyombong’ tadi tu boleh berubah. Berubah apabila kita kian matang dan makin dewasa.  Tapi perempuan ‘tua yang angkuh’ -tak  mungkin berubah sampai bila-bila. 

Wanita : Tua Angkuh

Saya dijerkah seorang rakan sekerja yang jauh lebih tua daripada saya selepas tanpa sengaja saya mengeluh – betapa saya kecewa kerana tak dapat berikan buku yang dipesan pelanggan kerana buku itu tak ada (yang sepatutnya tak boleh habis). 

Sepatutnya dia cuma perlu bercakap dengan saya (dengan tenang) tentang kesulitan yang hadapi, kalau cakap elok-elok tentu saya faham. Tapi bahasa yang kasar, nada suara keras dan tinggi – cukup mempamerkan makna ‘dia jerkah saya’. Tambah hebat, dilakukan di depan staf bawahannya. Tapi, Alhamdulillah… Tuhan beri kesabaran pada saya hari itu, sebab saya tak maki dia balik. 

Pada usia dia, saya rasa patutnya dia lebih ber’adab’ dari saya. Bagaimana seorang ibu, yang usianya mungkin separuh dari umur Mak saya – tak dapat menegur dengan cara yang baik. Saya tinggalkan semuanya di situ – malas nak berpanjangan.

Rupanya dia masih belum selesai -esoknya, dikirim pula emel dengan salinan kepada beberapa pihak sebagai amaran kepada saya supaya tidak mengulangi lagi perbuatan ‘mengeluh’ tu. Emel itu sebenarnya memperlihatkan dirinya yang sangat angkuh. 

Kalau sebelum itu saya ada segunung rasa hormat kepadanya – hilang sekelip mata. Saya mahu biarkan dia sentiasa menang dengan keangkuhannya. Dia terlalu mencintai dirinya yang angkuh – jadi biarkan.

Mengikut teori Ina : perempuan yang sangat cemerlang di hadapan keluarga, mengikut kehendak suami (walaupun tidak bersetuju), bermasalah di rumah tetapi berdiam, tidak merungut, tidak mengeluh – mereka melempiaskan rasa marah dan tidak puas hati mereka di pejabat. Jadi rakan sekerja dan orang bawahanlah yang menjadi mangsa.

Kata Encik Anuar pula : “bancuh kopi takkan jadi teh” – tak ada istilah ‘mulut saja jahat, tapi hati baik’. Apa yang keluar di mulut itu adalah apa yang di hatinya. Kalau hatinya bersih, tuturnya juga tenang. Begitulah sebaliknya.

Islam pun menolak ‘mulut jahat, hati baik’ ni. Kisahnya, ada riwayat tentang seorang wanita yang selalu beribadah, beramal soleh tetapi selalu mengganggu jiran dengan lidahnya. Rasullulah menjawab – dia (wanita itu) ahli neraka kerana dia telah menyakiti jirannya dengan pertuturan.

Ambil penganjaran dari cerita saya – jangan terlalu garang, tak perlu jerkah orang, menjatuhkan air mukanya di hadapan orang. Dan jangan terlalu angkuh.. Orang tak melawan mungkin sebab dia tak mahu jadi orang tak beradab macam awak.

Penamat kisah saya, saya biarkan saja. Jauh di sudut hati, saya setuju dengan Malie, “kita sayang dia, kita hormat dia – tapi kita kecil hati dengan dia, dengan apa yang dia buat pada kita.”

Doa saya, supaya perselisihan ini tak membeku jadi dendam. Moga hidupnya dan hidup saya membahagiakan – walaupun dia menyimpan angkuh di hati dan saya pula telah membuang sombong jauh-jauh.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s