Kami Keluarga : jabatan

Assalamualaikum.

Post ini hanya sebagai rekod dan ingatan kepada saya, bahawa kami (staf JKPJ- Jabatan saya bekerja) pada 30 dan 31 Januari lalu telah menganjurkan ‘hari keluarga’ dengan duit kami sendiri. Maknanya tiada sebarang dana sumbangan daripada syarikat. Segala perbelanjaannya keluar dari kocek (poket) kami masing-masing.

Alhamdulillah dapat juga kami luangkan masa untuk bersama-sama dengan keluarga besar kami. Belanjanya taklah besar mana, tapi acaranya meriah, menyeronokkan dan saya boleh lihat senyuman di wajah semua. Yang pasti semua orang suka!

Daripada idea Shukri, kami seramai lebih 15 staf bersama keluarga masing-masing berkampung di Kemunting Beach Resort, Pengkalan Balak, Melaka. Aktiviti siang, cuma sukaneka yang dikendalikan oleh Amin, Shukri dan Khaidir. Aktiviti sebelah malam pula, makan malam dan penyampaian hadiah. Masuk bab hadiah, saya gembira sebab kami ada Boss yang pemurah, Anuar sponser lima (5) hadiah utama yang jadi rebutan ramai.

“Kalau salah niat, dapatlah benda lain…” Sarima.
Saya rasa memang macam dah tersalah niat. Niat di hati nak multi purpose cooker, tapi saya dapat hamper. Hamperpun hemperlah labu, janji dapat. Rezeki jangan ditolak!

Rezeki dari Allah, saya sumbang sedikit, saya terima balik. Malam tu saya dapat hadiah (hamper) sumbangan Krul dan isterinya (mewakili Krumatrik). Alhamdulillah… Seronok, bukan sebab menang hamper atau hadiah sukaneka yang hanya dapat no. 3 (sebenarnya itu no. tercorot), tapi sebab tengok gelagat kawan-kawan. Mereka bergurau, berseronok, saling bahan membahan — ini kali masing-masing tak makan hati. Seronok dan beronok-ronok (seronok berganda)! Lebih seronok lagi bila saya dapat sampaikan sedikit cenderahati untuk anak-anak staf. Macam-macam peel (perangai) mereka, yang bila kita tengok buat kita rasa geram, comel sangat.

Kalau boleh saya berterima kasih, saya mahu ucapkan terima kasih kepada team pelaksana hari keluarga ini. Mereka bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya laksanakan program ini dengan baik. Setakat ini saya tak dengar lagi cerita-cerita yang tak bagus tentangnya, melainkan…

  • Ada geng (sukaneka) yang main tipu (geng sayalah tu)
  • ada geng yang kena gelak sebab kasut panjang diorang tak gerak-gerak walaupun mulut mereka bising “kiri-kanak, kiri-kanan..” — over excitedlah tu
  • dan pasal melalak karaoke sampai hujan turun siap dengan guruh dan kilat sabung menyabung – saya ke?

Dalam seronok-seronok tu, saya ada perasan yang jarak (jurang hubungan) dengan salah seorang daripada anggota team saya sendiri yang makin tebal (jauh). Tapi apa boleh buat, benda dah berlaku. Dulu, setahun lalu saya layan dia macam kawan, mesra. Tapi bila dia menolak atas alasan ‘ketidakbiasaan dengan perangai saya (kononnya memarahi dia – walaupun pertama kali)’, jadi saya putuskan untuk menjarakkan diri.

Kami hanya ‘co-worker‘. Layanan saya kepadanya hanya itu, ‘rakan sekerja‘. Sebab pada saya kawan boleh terima kawan dia dalam apa saja situasi, bila dia sebaliknya – jadi lebih baik jika kita tutup saja pintu sahabat itu.

Sebenarnya dalam suka dan duka, saya bersyukur sebab ditempatkan di Jabatan ini. Lepas merantau ke macam-macam bahagian dan jabatan, memang inilah ‘port‘ yang paling sesuai untuk saya.

Pertama, skop kerja saya di sini memang dalam pengetahuan dan kemahiran saya. Jadi senang sikit nak buat kerja.

Kedua, suasana kerja di sini lebih santai, kurang tekanan berbanding di tempat lain. Bukanlah kerana kerja kami mudah, tapi sebab tekanan dari sudut dalaman (rakan sekerja dan Boss) tiada terlalu mendesak dan kerap sampai mengganggu emosi, fizikal dan mental. Bukanlah tak ada tekanan langsung, cuma pada pengalaman saya sendiri ia tidak seteruk mengadap jabatan lain seperti sebelum ini.

Ada masanya kami (sesama rakan sekerja di jabatan sekarang) bertekak juga – bila tak setuju itu ini, bila selisih pendapat, bila salah faham. Tapi akhirnya kami akan baik balik bila masing-masing sudah tenang. Satu yang pasti, sama ada sedar atau tidak, setiap dari kami harus amalkan satu benda “prinsip tahu sama tahu”. Kalau ada dalam kalangan kami yang bersalah, kita guna prinsip ni sudah. Bila dia sudah okay, kita terimalah dia seadanya. Tak perlulah dia nak minta maaf dan beri penjelasan bagai. ‘Tahu sama tahu’ saja!

Ketiga, oleh sebab saya dah lama kerja di sini, jadi saya agak senior (bukan merujuk kepada pangkat) dan kebanyakkan rakan sekerja lain masih muda, namun tetap ada rasa hormat dan tidak memperlekehkan saya. Alhamdulillah, saya suka yang itu. Bab bergurau lain, kadang-kadang jadi bahan jugak saya ni. Tapi bila bergurau, kita tahu ia adalah gurauan dan kita boleh terima. Saya selesa dengan semua rakan sekerja se-jabatan, malah dengan staf bahagian/jabatan lain yang se-‘level‘ dengan saya pun rasa selesa bersama mereka. Mungkin sebab kami saling kenal, maka saling ‘cinta’ (selesa) bersama.

Keempat, mungkin sebab kami bekerja untuk misi yang sama — cari duit, walau apapun yang kami kerjakan. Kami faham sesama kami yang perlunya kerjasama untuk capai misi itu. Kami sentiasa sokong satu sama lain dan cuba bantu sedaya mungkin untuk sama-sama dapat capai misi. Saya harapkan doa kami tahun ini untuk misi 6.3 dan 5.8 berhasil, begitu juga misi 12 (walaupun yang ROI ini biasanya dapat).

Semoga Allah SWT kuatkan hati-hati kami untuk berkerja keras demi masa depan kami, keluarga dan syarikat. Moga Allah SWT berkati rezeki kami semua. Dan moga DIA lembutkan hati kami agar bersatu bagai keluarga yang bahagia. InsyaAllah.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s