TANGANI TEKANAN DENGAN MUHASABAH DIRI

Sepanjang minggu ini saya dan Dayat berada dalam keadaan sunyi sedikit. Kami ditinggalkan oleh boss yang menghadiri FIT Conference di Shanghai, China. Asalnya saya tak ada sebarang perasaan, apatah lagi sedih atau seronok bila dimaklumkan bahawa boss kami akan menyertai pihak pengurusan ke sana. Tapi dalam minggu terakhir, saya berasa lega pula terutama bila menyedari bahawa saya tak akan dihantui oleh boss dalam tempoh seminggu.

Pertama kali saya rasa tekanan dalam kerja yang amat sangat! Kesilapan demi kesilapan, masalah demi masalah, kesuntukan masa, maklumat minima dan tak mencukupi, sukar berdepan dengan permintaan itu dan ini, tak cukup kaki dan tangan mengerjakan tugas yang diamanahkan… semuanya melemaskan! Bukan tak pernah berdepan dengan tekanan kerja sebelum ini, tapi kali ini terasa sangat berbeza dan saya sendiri macam tak berupaya menanggungnya. Saya pernah juga buat semuanya sendiri sebelum ini – kendalikan iklan, uruskan acara, uruskan pembayaran kontraktor, sediakan kertas cadangan, menulis untuk buletin, memo, surat menyurat dan macam-macam lagi – dalam tempoh masa sama. Dan saya sendiri yakin, belajar tiga tahun di UITM dah cukup melatih saya untuk menjadi seorang Pegawai Perhubungan Awam (PRO) yang amatur. Biarpun bukan ditahap profesional tapi bolehlah diharapkan. Yang pasti saya tidak pernah mensia-siakan masa bekerja di ITNM tanpa mengumpul pengalaman untuk memperbaiki kemampuan diri.

Cuma apa yang berlaku dalam beberapa minggu ini, saya seolah-olah pertama kali membuat tugas yang diarahkan. Saya sendiri terkejut bila kebanyakkan bahan yang saya serahkan dipulangkan balik dengan beribu tanda merah (pembetulan). Bayangkan perasaan saya setiap kali membuat pembetulan…sedih, kecewa. Kadang-kadang rasa macam diri terlalu bodoh sehingga tidak boleh terima hakikat bahawa saya yang membuat kesalahan mudah itu. Kesilapan lain masih belum dikira. Jika boleh dinilai dengan wang, beribu agaknya nilai kesilapan itu. Terfikir juga untuk mencari kerja lain, mungkin PRO bukan kerjaya sesuai untuk saya!

Terakhir sebelum terbang ke Shanghai, boss saya sempat mengirimkan SMS kepada saya dan Dayat. Saya fikir itu SMS itu membawa maksud pujukan, minta maaf dan semangat untuk terus berusaha. Asalnya saya mengambil ringan SMS itu, saya malas nak fikir benda yang lepas… yang sudah tu sudah! Untuk balasan saya kirimkan ayat-ayat kelakar untuk boss. Saya kemudian terima SMS ikon senyuman dari boss. Saya, macam biasa buat selamba macam tiada apa yang berlaku, tapi ayat yang dibaca dari SMS pertama boss saya bermain-main dalam fikiran.

Beberapa ketika, saya rasa bersalah, sedih dan sedikit penyesalan. Jika difikirkan, boss saya juga menghadapi tekanan. Tekanannya pasti lebih besar jika dibandingkan dengan apa yang saya hadapi. Lebih memberatkan bila saya dan Dayat tidak dapat bertindak seperti yang diharapkan, tentu boss saya lebih sukar melaksanakan sesuatu yang direncanakan. Saya yang sememangnya tinggi dengan perasaan ego ni, berlembut juga akhirnya… Saya kirimkan semula SMS untuk meminta maaf atas kesilapan yang saya lakukan. Tapi saya pasti kesilapan yang saya lakukan bukan sesuatu yang disengajakan, saya telah berusaha mengelaknya tapi kesempurnaan itu bukan milik saya. Saya juga sempat berterima kasih kepadanya atas segala teguran. Saya seorang yang susah mengakui kelemahan, tapi SMS boss saya telah membuatkan saya berfikir panjang.

Saya harap, sepanjang minggu dengan ketiadaan boss ini saya dapat memotivasikan diri sendiri dan berusaha menilai kelemahan serta mencari jalan mengatasi kelemahan itu. Semogo segalanya berjalan lancar. Tak mungkin saya meninggalkan kerjaya idaman ini, hanya kerana sedikit teguran dari kesilapan tidak disengajakan. Mana perginya sikap tak kenal putus asa yang menebal dalam diri sebelum ini.. ? Itu yang perlu difikirkan!

Dari bacaan saya dalam blog http://www.azlina.net/blog terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan untuk mengurangkan tekanan kerja. Antaranya ialah :

1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk

Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan.

2) Perbanyakkan membaca Al-Qur’an

Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai
teman paling akrab pada sepanjang waktu.

3) Banyakkan Solat Sunat

Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

4) Selalu berdoa kepada Allah

Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

5) Bersangka baik dengan Allah

Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan

Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita
meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

7) Amal diet dengan disiplin yang kuat

Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat.

8) Menangis dengan sepuas hati

Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu.

9) Hargai kebolehan diri sendiri

Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

10) Cintai diri sendiri

“Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain”. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.

Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s